Wednesday, 23 February 2011

Kesinambungan Aspirasi

Fikiranku melayang ke hari itu. Hari yang kutunggu-tunggu sedari kakiku mula mengorak langkah dalam menggapai cita-citaku. Hari yang sentiasa akan dibanggakan hadirin. Walau aku cuma sekelumit dari yang datang. Hanya satu titik. Tiada bezanya.


Aku cuba mendapatkan hikmat hari itu. Cuba menelan realiti yang zaman cintaku bakal habis dan berkesudahan gembira dengan kehadiran hari itu. Gembirakah aku? Ternyata tiada bezanya. Aku cuma menanti hari itu berlalu. Berselang-seli dengan normal hari itu.


Namun, tidaklah segalanya hambar. Hari itu aku menerima kehadiran saudara sekeluarga dari rantau jauh. Ku cuba memberi yang terbaik padanya. Semoga itu yang terbaik dari tuan rumah semuanya.


Dewan penuh dengan pelajar antarabangsa. Sesi graduasi ini terbuka khas untuk pelajar antarabangsa yang bakal kembali ke tanah air masing-masing sementara pelajar lain akan menerima sijil di bulan 3 atau 4 nanti. Khasnya majlis ini, khabarnya untuk memberi peluang pelajar antarabangsa menggenggam ijazah mereka sebelum visa tamat. Tidak perlu bersusah-payah untuk kembali, satu masa di masa akan datang semata-mata untuk menghadiri majlis serupa ini. Manisnya realiti ini, kerana aku tidak mungkin akan kembali jika majlis ini tidak diadakan di penghujung tahun lepas.


Kehadiran pelajar-pelajar asing sebagai sebahagian daripada tetamu istimewa hari itu yang agak tidak biasa dengan protokol majlis telah mencacatkan sedikit sebanyak perjalanan hari itu. Aku yang melihat hanya mampu melihat, tidak mahu lebih mencacatkan. Timbalan Canselor telah memulakan ucapannya yang penuh inspirasi. Kepada bakal-bakal graduan, bakal-bakal pekerja yang akan mengorak langkah hidup mereka di merata-rata tempat di seluruh dunia. Beliau memberi pesan yang meresap masuk terus ke lubuk hati. Tak tertahan air mata dari gugur selama beliau berucap. Bukan hanya sedih, malah gembira kerana hidupku bakal berubah, masuk ke tahap yang lain. Beliau memesan agar terus efisien, bekerja dengan sepenuh hati. Bukan hanya untuk merubah nasib dan masa depan sendiri, tetapi juga perlu berfikir tentang perubahan dan anjakan pada industri dan orang sekeliling yang mampu kita lakukan. Hati berdetik 'Mampukah aku? Sudikan industri menerima orang sepertiku? Aspirari setinggi langit untuk melihat suasana berubah ke lebih baik?'


Tidak lupa juga ketika graduan dipersilakan untuk berdiri , berpusing ke belakang dan bertepuk tangan tanda terima kasih buat insan-insan yang selama ini memberi sokongan sepenuh hati dan kudrat. Insan-insan yang kini berada di dalam dewan dan duduk di belakang dan di atas dewan festival itu. Aku mencari-cari wajah tetamu istimewa. Namun penglihatan kabur kerana air mata yang bergenang. Ternyata insan-insan yang kuharapkan tiada di situ. Mereka yang selama ini berlegar di sekeliling hidupku. Juga kerana insan-insan itu juga antara yang turut menerima sijil mereka hari itu. Ku panjatkan doa kesejahteraan buat mereka, bukan hanya tepukan tangan yang bergema di dalam dewan itu.


Tarikh 20 Disember 2010 akan ku kenang selamanya. Tarikh di mana aku akan mengorak langkah sebagai seorang dewasa, seorang yang ingin terbang tinggi di awan.


Tolong jangan hambatku ke tanah. Minda ini telah jauh menerawang di langit tinggi. Jangan dipakukan jasad ke bumi. Ingin aku terbang beriringan dengan burung di langit atau jauh lebih tinggi, setinggi kapal terbang di atas sana. Ku harap tanah air sudi menerima aku dan aspirasiku. Ingin menjadikan Malaysia syurgaku yang seterusnya. Selepas Adelaide.

1 comments: